Keputusan mahkamah terhadap permohonan Awie dikeluarkan

blogger templates

Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis menolak bantahan yang dikemukakan penyanyi rock terkenal, Awie berhubung permohonan isterinya Rozana Misbun, 36, bagi mengenepikan perintah hak jagaan anak secara sebelah pihak yang diperoleh penyanyi itu, dua bulan lalu.
Mahkamah turut mengarahkan Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, membayar kos sebanyak RM900 kepada Rozana.
Keputusan tersebut dibaca oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Mohammad Fatah di dalam bilik pendaftar.
Sementara itu, Mahkamah turut menetapkan 31 Oktober ini bagi pihak Awie untuk memfailkan afidavit jawapan bagi permohonan Rozana untuk mengenepikan perintah hak jagaan sementara yang diperoleh penyanyi itu pada 22 Julai lalu.
Dalam pada itu, peguam mewakili Rozana iaitu Majdah Muda berkata pihaknya akan mendengar afidavit jawapan daripada Awie tentang beberapa perkara yang telah dikemukakan dalam bantahan awal lalu.
“Akhirnya kita akan dengar versi daripada pihak Awie dalam apa-apa yang kita dakwa sebelum ini seperti sijil nikah, alamat salah dan beberapa isu berbangkit.
“Insya-Allah dijangka dalam pertengahan November kita dapat satu keputusan penuh tentang kes ini,” ujarnya.
Sementara itu, Rozana yang ditemui menzahirkan rasa syukur dengan keputusan pada Khamis dan tidak sabar untuk bertemu anak-anaknya yang terpisah sejak Julai lalu.
“Alhamdulillah saya bersyukur dengan keputusan ini dan saya harap dapat jumpa anak saya secepat mungkin,” ujarnya.
Rozana hadir ditemani kakaknya, pelakon Haliza Misbun, manakala Awie hadir bersama peguamnya Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain.
Terdahulu pada 21 Ogos lalu, Awie telah mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan isterinya untuk mengetepikan perintah hak penjagaan (hadanah) sementara ke atas tiga anak mereka yang diperoleh artis itu, 21 Julai lalu.
Awie pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.
Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.
Terdahulu dalam kejadian lain Awie telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun 2013.
Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

0 Response to "Keputusan mahkamah terhadap permohonan Awie dikeluarkan"

Post a Comment